KL in attack mode

Tuesday, 25 March 2014 13:22
Kejohanan Tenis WTA BMW Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung di Kelab Golf Royal Selangor (RSGC) pada 14-20 April ini telahpun mengesahkan kehadiran dua bintang ternama iaitu naib juara Terbuka Australia Dominika Cibulkova dan juara Grand Slam tujuh kali yang juga bekas pemain No.1 dunia Venus Williams.
 
Tetapi kejohanan yang menawarkan hadiah tunai AS$250,000 itu pastinya bukan sekadar mengenai Cibulkova mahupun Williams semata-mata.
 
Ini kerana penganjurnya Carbon Worldwide, sedang dalam pertimbangan untuk menganugerahkan wildcard kepada tiga lagi pemain yang dirasakan mampu memberikan perbezaan kepada keseluruhan suasana pertandingan yang memasuki tahun kelima kali ini.
 
Mereka yang berada dalam senarai pertimbangan adalah pemain No.12 dunia Flavia Pennetta, Daniela Hantuchova yang kini menduduki ranking ke-33 dunia dan pemain muda Amerika Syarikat Coco Vandeweghe.
 
"Kami sedang mempertimbangkan tiga pemain ini dan rundingan sedang dijalankan," kata Pengarah Pertandingan, Keld Kristiansen.
 
"Kami amat pasti bahawa kehadiran mereka akan menambah nilai kepada kejohanan ini dan adalah menjadi sasaran kami untuk mendapatkan barisan pemain yang terbaik untuk bertanding dalam BMW Terbuka Malaysia.
 
"Dengan senarai pemain yang mengagumkan bakal mewarnai pertandingan ini, permintaan terhadap tiket cukup menggalakkan dan saya berharap supaya peminat-peminat tidak menunggu sehingga ke saat akhir untuk membeli tiket mereka."
 
Pennetta, 32, yang merupakan pemain wanita Itali pertama memecah masuk ranking 10 teratas perseorangan dunia dalam perseorangan pada Ogos 2009 itu, memiliki 10 gelaran perseorangan WTA dalam kariernya sejak menjejakkan kaki ke alam profesional pada Februari 2000.
 
Dan kejuaraan ke-10 berjaya digapai hanya pada awal bulan ini apabila beliau menakluki gelaran Indian Wells, selepas menumbangkan dua pilihan utama Li Na dan Agnieszka Radwanska pada dua halangan terakhirnya.
 
Ia sememangnya kejayaan yang menyegarkan karier beliau yang sedikit terumbang-ambing selepas ditimpa kecederaan pergelangan tangan kanan pada pertengahan 2012. Kecederaan yang memerlukan rawatan pembedahan itu telah memaksanya berehat selama enam bulan sehingga Februari 2013.
 
Kedudukan ranking beliau satu ketika jatuh sehingga ke No.166 sebelum Wimbledon namun Pennetta, yang membantu negaranya menjuarai Piala Fed sebanyak empat kali, membuktikan dirinya seorang yang tidak mudah menyerah meskipun pada usianya yang menjangkaui 31.
 
Dalam beberapa bulan sahaja beliau berjaya memanjat menghampiri kelompok teratas, di tangga ke-31, pada September dibantu dengan kejayaannya layak ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat, yang secara ironinya merupakan pencapaian terbaik dalam penampilan Grand Slam.
 
Maka berdasarkan prestasi semasanya, kedatangan Pennetta ke BMW Terbuka Malaysia tentunya bukan sahaja menaikkan lagi prestij kejohanan, malah menghangatkan lagi saingan perebutan kejuaraan tahun ini.
 
Antara daya tarikan tenis wanita, tiada siapa boleh nafikan, antaranya adalah pemain berwajah jelita dan seksi. Dan tiada siapa juga boleh nafikan, jelitawan Slovakia, Hantuchova merupakan antara bintang tenis wanita dalam planet ini yang memenuhi kedua-dua ciri yang dinyatakan tadi.
 
Namun, pemain berusia 29 tahun itu bukanlah glamor disebabkan kecantikannya sahaja kerana kemampuannya sudahpun terbukti di atas gelanggang.
 
Gah dengan enam gelaran perseorangan WTA termasuk memenangi Indian Wells sebanyak dua kali, Hantuchova pernah satu ketika menduduki ranking kelima dunia sewaktu menikmati kemuncak kariernya pada 2003. 
 
Walaupun prestasinya merudum dan kurang konsisten pada tahun-tahun berikutnya, ia tidak menjadi masalah untuknya menamatkan setiap tahun sama ada dalam mahupun menghampiri kelompok 30 terbaik.
 
Pencapaian terbaik Grand Slam Hantuchova adalah pada 2008 apabila beliau mara sehingga ke suku akhir Terbuka Australia. Hantuchova juga dianggap pemain tenis Slovakia yang paling berjaya dalam sejarah setelah menjadi pemain wanita ke-37 dalam Era Terbuka untuk mencapai kemenangan karier ke-500 apabila menewaskan Laura Robson pada pusingan kedua Aegon Classic pada jun 2013.
 
Beliau juga merupakan pemain beregu yang disegani dengan melengkapkan koleksi kejuaraan Grand Slam dalam beregu campuran pada 2005, sekaligus menjadi pemain wanita kelima yang berjaya melakukannya dalam sejarah.
 
Kejohanan BMW Terbuka Malaysia dalam dua tahun sebelum ini telah menyaksikan bagaimana pemain-pemain kurang ternama seperti Hsieh Su Wei dari Taiwan dan Karolina Pliskova dari Republik Czech mencipta kejutan dan mengecapi gelaran sulung masing-masing di Kuala Lumpur.
 
Ini menunjukkan seolah-olah kejohanan ini telah menjadi pentas yang berupaya mendatangkan tuah dan inspirasi kepada mereka yang hendak membawa karier ke peringkat selanjutnya.
 
Dan di sinilah mungkin tempatnya untuk Vandeweghe, yang berusia 22 tahun, mencapainya. Sejak bertukar pro pada 2008, iaitu tahun beliau menjuarai gelaran remaja wanita Terbuka Amerika Syarikat, beliau masih tercari-cari rentak.
 
Tetapi, Vandeweghe bukanlah tiada pencapaian langsung dalam karier seniornya. Vandeweghe pernah muncul naib Bank of the West Classic di Stanford apabila beliau tewas di tangan Serena Williams pada Julai 2012.
Rate this item
(0 votes)
Read 1211 times

Upcoming Hockey Events

No events

Our Hockey Network